bibirmu terkunci
senyummu terpaksa
demi maruah suami
kau diamkan segalanya
tangismu hiba malam gelita
batinmu mengadu pada Yang Esa
kau tak mahu mengaibkan sesiapa
agar orang melihat tiada apa-apa
konflik para isteri Nabi jelaskan
betapa perit mengurus kecemburuan
walaupun oleh wanita paling beriman
apatah lagi dirimu wanita akhir zaman
aku belajar dari kepahitan mereka
bukan memilih kepahitan untuk belajar
terima kasih Tuhanku tidak memaksa
menjaga agamamu daripada tercalar
pernikahan bukan medan percaturan
poligami bukan cuba-cubaan
tanpa keperluan ia bukan pilihan
hanya rukhsah ketika tiada jalan
syarat taklik akanku pateri
kerana tiada lelaki sebaik Nabi
dan aku tidak akan sebaik Aisyah
aku lebih rela menjadi Fatimah..