Terlalu lama tak menulis. Ya.. Semenjak mama pergi blog ni di biar berhabuk.. Maaf sebab terlalu cepat futur. Terlalu lemah dan rebah..
Semenjak itu mengambil keputusan untuk kerap bercuti. Pergi membawa diri. Bermula dari dalam negara dan kemudiannya aku melangkah ke sebuah bumi yang sangat asing dengan Islam..
Macau...
Sebuah tanah negeri China yang pernah suatu ketika ditakluk Portugis sehingga tahun 1999 hingga menyebabkan kebanyakan warganya bercampur antara Cina dan Potugis. Ramai yang tanya, banyak-banyak negara, kenapa Macau? Ya, Macau memang sebuah negara yang bila disebut saja, semua orang membayangkan bangunan-bangunan mewah yang kebanyakannya casino. Negara yang menjadikan casino bisnes utama.
Kadang-kadang, untuk mengajar orang mencintai kita, kita kena kenal dulu siapa dia. Untuk mengajak orang mencintai budaya kita, kita kena kenal dulu budaya mereka. Untuk membawa mereka mengenal Islam, kita mesti lihat dulu pengamalan mereka.
Aku memulakan jejak langkah di airport macau menuju ke hotel Hou Kong terletak berhampiran dengan jalan Rua Das Lorchas. Ya, semua jalan-jalan mereka menggunakan bahasa Portugis. Sampai saja di hotel, perkara yang dibuat adalah mencari arah kiblat. Kompas kiblat adalah barangan yang sangat penting untuk dibawa jika ke negara bukan Islam.
Hari pertama kami berjalan di sekitar Senado Square. Tempat yang seakan-akan dataran dan hanya boleh berjalan kaki dari hotel tempat kami tinggal. Naik bas pun boleh. Untuk pengetahuan, pengangkutan utama rakyat Macau adalah bas.
Dari Senado Square, melangkah ke St Paul. Sebuah monumen yang dulunya gereja namun kini hanya tinggal gerbang pintu semata. Berjalan di sekitar kota, melihat pelbagai kerenah dan budaya.
Dari segi makanan pula, aku akui memang susah untuk mendapatkan makanan halal di sini. Kami sendiri membawa bekalan makanan dari Malaysia. Tapi susah tak bermaksud tiada. Ada beberapa restoran makanan halal disini. Contoh yang paling dekat dengan hotel kami adalah Lou Lan Islam Restaurant yang terletak di Jalan Travessa De Cinco De Outubro .
Pada hari kedua, kami berjalan-jalan ke mall-mall dan bandar Macau. Memang tidak sah kalau tidak ke City of Dream. Mengunjung ke The Venetian, sebuah mall yang sangat cantik. Tapi yang mencabar sekali adalah untuk mencari tempat solat. Iya lah, bagaimana kamu mahu mencari tempat solat di bangunan casino? Mustahil bukan. Tapi bila kami bertanya pada petugas di sini, mereka tidak kekok menunjukkan kami ruangan yang kosong yang boleh kami gunakan untuk solat. Memang kena pandai-pandai bawa telekung dan alas sendiri lah.
Untuk pengetahuan kalian, walaupun penduduk Islam di Macau adalah golongan yang sangat minoriti, tapi ada wujudnya masjid disini. Ya, satu-satunya masjid di bumi Macau. Masjid yang menjadi tumpuan rakyat Islam Macau untuk berjemaah khususnya pada waktu solat Jumaat.
Sebelum terlupa, waktu di Macau adalah sama saja dengan waktu Malaysia kerana kita sama-sama di garisan khatulistiwa. Mempunyai iklim yang sama dan musim yang sama.
Walupun berada di sana hanya untuk 4 hari, tapi ianya sudah cukup untuk menyentuh aku. Terasa Islam terlalu asing disana. Terasa ingin aku menjerit melaungkan pada mereka tentang apa itu Islam. Hingga membuat aku menanam tekad. Suatu hari nanti, Islam tak lagi asing di bumi sendiri. Makanan halal boleh didapati di mana-mana walau kau pergi ke negeri China. Tempat solat boleh dijumpai walaupun kau menjelajah ke negara Hawaii..
InsyaAllah sama-sama kita usahakan..
No comments:
Post a Comment